Sejarah Sekolah

Asal-usul Nama Sekolah


Lahir atau wujudnya sekolah ini adalah di atas kesedaran beberapa orang berpengaruh dari Kampung Bertam, iaitu Tuk Penghulu Abu Bakar B. Ahmad, Penggawa Mohd Husain B. Ahmad dan Iman Haji Omar B. Salim.  Hasil sokongan dan kerjasama dari penduduk kampung, maka terdirilah sebuah bangunan yang dihajati itu, iaitu sebuah sekolah pada tahun 1938.  Pihak  Jabatan Pendidikan telah menghantar dua orang guru untuk mengajar di sekolah tersebut.  Sekolah dinamakan SEKOLAH MELAYU BERTAM.

Panjang bangunan ini ialah 60 kaki dan lebarnya 20 kaki.  Di samping itu juga sebuah rumah guru dibina bagi kemudahan guru untuk tinggal di sini.  Selain itu, di bawah khidmat mereka bertiga dan kerjasama masyarakat kampung, aktiviti gotong-royong bagi mengadakan padang bola dan kawasan bercucuk tanam.

Jenis bangunan pada permulaannya adalah terdiri dari jenis kayu bulat, beratapkan daun bertam.  Walau bagaimanapun bangunan yang ada pada hari ini setaraf dengan bangunan yang ada di bandar-bandar, iaitu bangunan batu dua tingkat serta keluasan tanahnya adalah lebih empat ekar.  Perkembangan sekolah ini disebabkan pertambahan murid-murid dari semasa ke semasa.  Perkembangan murid-murid sangat menggalakkan dari setahun ke setahun, hingga mencapai jumlah 330 orang pada tahun 1983, di mana 22 orang daripadanya murid-murid orang asli.

Pada masa itu, kelengkapan pelajaran sangat tidak memuaskan terutamanya buku-buku tulis.  Di atas gerak sedar yang dijalankan oleh guru-guru, perkara-perkara tersebut dapat diatasi.  Ibu bapa mula sedar akan kepentingan pelajaran terhadap anak-anak mereka.

Sebab-sebab Nama Itu Dipilih Dan Tarikh Nama Itu Digunakan

            Pada asalnya nama sekolah ini ialah SEKOLAH MELAYU BERTAM.  Namun demikian selepas zaman pemerintahan Jepun, nama sekolah ini telah ditukar kepada SEKOLAH KEBANGSAAN BERTAM, iaitu setelah negara kita mencapai kemerdekaan.  Nama sekolah ini dipilih berdasarkan kepada nama Kampung Bertam, di mana ianya berasal dari pohon yang dinamakan pohon bertam yang tumbuh dengan banyaknya di kawasan ini.

            Di dalam sekitar 60-an, maka sekolah ini menggunakan nama SEKOLAH KEBANGSAAN BERTAM.  Nama ini digunakan sehinggalah ke hari ini.  Pada peringkat permulaan sekolah ini ditadbirkan oleh :

(a)    Cikgu Mohd Akim                                   ( 1938 – 1940 )
(b)    Cikgu Nik Abdullah                                 ( 1940 – 1941 )

            Dalam zaman pemerintahan Jepun, sekolah ini ditutup sehinggalah pada tahun 1948.  Setelah pemerintahan Inggeris bermula kembali, maka sekolah ini di buka pada tahun 1950, dengan ini pihak kerajaan telah menghantar beberapa orang guru dan dibantu  seorang Guru Besar sebagai Pentadbir Sekolah.  Antara guru besar yang telah ditempatkan di sekolah ini ialah:

(a)        En. Abdullah B. Said                            ( 1950 – 1951 )
(b)        En. Husain B. Idris                                ( 1952 – 1954 )
(c)        En. Yusoff B. To’                                 ( 1954 – 1956 )
(d)        En. Mustapha                                       ( 1957 – 1959 )
(e)        En. Abd. Ghani B. Abu Bakar  ( 1959 – 1974 )
(f)         En. Awang B. Abdullah                        ( 1974 – 1975 )
(g)        En. Zulkifli B. Yusoff                             ( 1975 – 1976 )
(h)        En. Ali B. Sulong                                  ( 1977 – 1979 )
(i)         En. Salleh B. Abdullah              (1980 – 1982 )
(j)         En. Shaffi B. Ismail                               ( 1982 – 1983 )
(k)        En. Mohd Zain B. Haron                      ( 1983 – 1988 )
(l)         En. Azizan B. Ariff                                ( 1989 – 1995 )
(m)       En. Mohd Nor B. Ismail                       ( 1995 – 1995 )
(n)        En. Mohd Nor Yaakub             ( 1995 – 1997 )
(o)        En. Abdullah B. Abd. Majid                 ( 1998 – Mac 2003 )
(p)        En. Ab. Aziz bin Tahir               ( Mac 2003 – Feb 2006 )
(q)        En. Azizan bin Ariff                               ( Mac 2006 hingga sekarang )

Untuk melicinkan pengurusan sekolah, semenjak tahun 1960 sekolah ini telah menubuhkan Ahli Jemaah Pengurusan Persendirian untuk mentadbir bagi peningkatan kemajuan pelajaran dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan sekolah.  Antara wakil yang dilantik ialah:

(a)                Wakil Menteri Pelajaran
(b)               Wakil Kerajaan Negeri
(c)                Wakil Ibu Bapa
(d)               Wakil Murid Tua